Monday, 16 September 2019

Pengurusan Masa

    Apakah itu masa? Masa merupakan benda yang tidak ternilai kerana masa tidak dapat dibeli atau dijual. Masa amat penting kepada semua orang. Jika kita membazirkan masa, masa itu tidak dapat dikembalikan. Orang yang suka membazirkan masa adalah orang yang rugi. Dengan ini, pepatah “masa itu emas” sering diungkapkan oleh cendekiawan dan orang tua. Pepatah ini bermaksud masa itu berharga dan tidak mempunyai barang yang boleh menggantinya. Pepatah ini sudah didengar dan menjadi biasa dari sejak kecil. Namun, masih terdapat masih ramai orang yang suka membazir masa dan akhirnya menyesal. Oleh itu, kita perlulah memanfaatkan masa dengan bijak melalui pengurusan masa.

   Pengurusan masa sangat membantu dalam kehidupan harian secara sistematik. Pengurusan masa adalah kemampuan seseorang dalam merancang penggunaan masa dengan perkara yang bermanfaat untuk mendatangkan keuntungan kepada kehidupan seseorang. Pengurusan masa bermaksud pembahagian masa dengan betul supaya aktiviti harian seseorang dapat dijalankan dengan lancar. Menurut Khalid Mohamed Noor (2002), rahsia kejayaan seorang pelajar yang berpencapaian tinggi adalah mempunyai pengurusan masa dengan cekap yang membolehkan mereka mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dengan jayanya. Dengan ini, pengurusan masa sepatutnya dirancang dengan baik agar tidak membazirkan masa yang berharga.


    Umum mengetahui bahawa pengurusan masa yang baik adalah melalui perancangan jadual harian. Hal ini dikatakan demikian kerana jadual harian dapat membantu pelajar menjalankan aktiviti yang dirancang dengan lancar. Pelajar dapat menyiapkan tugasan yang diberikan dengan ketepatan masa dan mereka juga mampu menghasilkan tugasan yang berkualiti melalui perancangan jadual harian. Dengan ini, pelajar juga dapat mengelakkan amalan suka bertangguh untuk melakukan sesuatu tugasan melalui perancangan jadual harian. Sebagai contoh, pelajar merancang jadual harian dengan meluangkan masa yang secukupnya untuk diri sendiri, keluarga atau rakan-rakan. Pengurusan masa yang bijak dapat mengimbangkan pembahagian masa terhadap pelbagai jenis aktiviti yang akan dilakukan. Oleh itu, perancangan jadual harian yang sistematik dapat memanfaatkan masa dengan melakukan perkara yang afdal.


    Selain itu, pengurusan masa juga amat vital kepada setiap pelajar dan memberikan banyak manfaat kepada mereka. Kepentingan pengurusan masa kepada pelajar ialah urusan dapat disiapkan dengan lancar. Pelajar yang bijak merancang masa dapat menjalankan aktiviti yang berfaedah dan tidak membazirkan masa yang berharga. Seterusnya, pelajar juga tidak akan terasa tertekan kerana kesempitan masa. Proses menyiapkan tugasan dapat dijalankan secara aman dan berkualiti dengan pengurusan masa yang bijak. Hal ini dapat mendorong para pelajar ke arah pencapaian kejayaan yang cemerlang dalam bidang yang mereka ceburi dan menghapuskan sikap suka menangguh. Oleh itu, pengurusan masa yang baik dapat menjadikan seseorang tenang menghadapi cabaran seharian kerana tugasan sudah disiapkan awal. 


    Kesimpulannya, setiap orang tidak dapat hidup tanpa masa kerana masa sangat berharga kepada setiap orang. Menurut Sheikh Dr. Yusof al-Qaradawi, masa merupakan harta manusia yang paling berharga. Orang yang membuang masa akan mengalami kerugian kerana masa tidak dapat ulang lagi. Walaupun pengurusan masa bukan sesuatu perkara yang mudah, kita perlulah bijak mengurus masa melalui perancangan jadual. Hal ini dikatakan demikian kerana ramai orang sering mengabaikan kepentingan pengurusan masa sehingga mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi dalam kehidupan harian mereka. Kini, masyarakat sedar tentang pengurusan masa yang efektif adalah satu aspek yang dapat membawa kecemerlangan dan menentukan kejayaan seseorang serta memanfaatkan masa dengan maksima. Diharapkan semua pihak menggembleng tenaga dengan mementingkan pengurusan masa terhadap masyarakat, keluarga dan negara bagi memajukan negara.  


Oleh: Janice Chieng Zheng Ni

No comments:

Post a Comment

Strategi Meningkatkan Ingatan

Ramai pelajar cemerlang menggunakan teknik yang betul untuk meningkatkan daya ingatan. Teknik ini boleh digunakan untuk membantu kita meng...